Tuesday 23 April 2013

Peranan Keluarga dalam Merealisasikan Slogan "Rumahku Syurgaku".

     Dalam pawana globalisasi yang penuh dengan konkurensi sengit ini, kemajuan ibu pertiwi kita semakin pesat dan rancak ekoran daripada anjakan paradigma yang dialami. Hal ini membolehkan negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara gergasi yang lain. Namun, di sebalik kemajuan yang dikecapi, acap kali meniti di bibir manusia di seluruh empat penjuru alam mengenai masalah rumah tangga yang semakin menjadi-jadi. Bagi mengatasinya, slogan "Rumahku Syurgaku" yang amat berkesan dalam mewujudkan keharmonian sesebuah keluarga haruslah diamalkan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Polemiknya, apakah peranan yang menjadi tanggungjawab keluarga agar slogan tersebut menjadi kenyataan?

     Bagi merealisasikan slogan "Rumahku Syurgaku", ibu bapa merupakan penggerak dominan dalam mewujudkan sikap saling mengasihi dan menyayangi antara satu sama lain. Merujuk kepada lirik lagu 'Keluarga Bahagia' ciptaan kumpulan nasyid popular, saujana yang berbunyi 'Sedamai Taman Firdausi, limpahan kasih sayang sejati, seharum semerbak kasturi, mengharumi hidup insani', jelas menunjukkan bahawa perasaan kasih dan sayang sangat diperlukan dalam membina keluarga bahagia. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah menghindari sikap saling membenci dan berusaha menyemai serta memupuk sikap kasih dan sayang ke dalam sanubari anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana anak-anak ibarat kain putih yang suci, ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Nasrani, Yahudi, Majusi mahupun Muslimin sejati. Hal ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh ibu bapa kerana menurut pepatah cina, 'menyimpang seinci rugi seribu batu'. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan yang dominan dengan memupuk nilai kasih dan sayang dalam sanubari anak-anak agar slogan "Rumahku Syurgaku" dapat direalisasikan dengan jayanya.

     Selain itu, setiap ahli keluarga haruslah menanam dan membajai sikap saling menghormati antara satu sama lain. tanggungjawab ini haruslah dilaksanakan oleh setiap ahli keluarga bagi mengelakkan sebarang permusuhan berlaku. Anak-anak sentiasa menghormati dan mendengar arahan ibu bapa. Harus diingati, tanggungjawab bukan sahaja terletak di bahu anak-anak, ibu bapa yang merupakan pasangan suami isteri juga haruslah menghormati satu sama lain bagi mengelakkan sebarang perselisihan faham berlaku yang boleh mendorong ke arah penceraian. Tamsilnya, apabila berjalan di hadapan ibu bapa, anak-anak hendaklah menundukkan sedikit badan bagi menghormati ibu bapa. Suami isteri hendaklah menghormati setiap keputusan yang dibuat agar tidak menimbulkan perasaan iri hati. Sekiranya sikap ini tidak disemai dan disenyawakan dalam hati nurani setiap ahli keluarga, banyak masalah yang akan berlaku. Hampir setiap hari, pasti ada sahaja berita anak gadis dilarikan ke negara asing, anak gadis dirogol, 'mat rempit' berleluasa dan sebagainya. Hal ini disebabkan oleh hilangnya rasa hormat anak-anak terhadap ibu bapa. Masalah ini haruslah dibendung dengan mencari formula penyelasaian dan rencah efisien yang tidak lain tidak bukan ialah penerapan sikap menghormati ibu bapa. Adakah ibu bapa ingin melihat nasi menjadi bubur? Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, sikap saling menghormati haruslah diterapkan dalam sanubari setiap ahli keluarga agar slogan "Rumahku Syurgaku" menjadi kenyataan.

     Bertitik tolak daripada manifestasi di atas, setiap ahli keluarga haruslah bekerjasama dan bersatu-padu dalam menghadapi sesuatu dugaan mahupun cabaran. Menurut Surah Al-Imran ayat 103, 'Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai,. Nescaya Allah akan mempersatukan hati-hati kamu, dan menjadilah kamu golongan yang bersaudara', jelas membuktikan Allah Ta'ala sangat menggalakkan persepaduan dalam masyarakat. Pepatah melayu juga ada menyebut,'bersatu kita teguh bercerai kita roboh'. Dalam sesuatu komuniti mahupun institusi, sikap ini sangat diperlukan agar dapat memberikan hasil yang berkualiti. Contohnya, dalam menjayakan aktiviti gotong-royong, rumah terbuka mahupun Hari Keluarga, setiap ahli keluarga hendaklah saling bekerjasama dan bersatu padu antara satu sama lain. Bukan sahaja dapat membentuk perpaduan, malah tali silaturrahim dapat dikukuhkan, kerja yang dilakukan dapat disiapkan dengan cepat serta dapat memberikan kepuasan terhadap setiap ahli. Melalui usaha ini, keharmonian dapat diwujudkan dalam sesebuah keluarga tersebut. Hal ini selaras dengan peribahasa, 'bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat'. Oleh itu tidak dapat disangkal lagilah bahawa sikap saling kerjasama antara ahli keluarga mampu merealisasikan slogan "Rumahku Syurgaku".

     Dilihat daripada perspektif yang lain, sikap saling mempercayai antara satu sama lain juga tidak kurang peri pentingnya. Setiap ahli keluarga hendaklah saling mempercayai antara satu sama lain agar tidak wujud rasa syak wasangka dalam sesuatu ikatan kekeluargaan. Ibu bapa harus menyemai sikap ini agar tidak terlalu mengongkong pergerakan anak-anak. Ironinya, anak-anak akan memberontak kerana merasakan diri tidak dipercayai dan tidak bebas melakukan sesuatu. Tamsilnya, sekiranya anak-anak meminta keizinan daripada ibu bapa untuk keluar bersama-sama rakan , ibu bapa hendaklah yakin dan percaya anak-anak tidak akan melakukan sesuatu di luar jangkaan. Walau bagaimanapun, ibu bapa harus pandai menilai dalam memberi kepercayaan kepda anak-anak agar kehidupan mereka terkawal dan tidak terlalu bebas. Sikap ini juga haruslah disemai dalam sanubari anak-anak sejak kecil lagi kerana tatkala rebung tiada dipatah, sudahkan aur apa gunanya. Sekiranya hal ini tidak dilaksanakan, anak-anak bukan sahaja memberontak, malah boleh melakukan sesuatu di luar jangkaan seperti melarika diri, membunuh diri dan sebagainya ekoran daripada tidak mempercayai sesama sendiri, merasakan diri tidak dipercayai dan rasa tersisih. Oleh itu, sudah terang lagi berusluh, sikap saling mempercayai yang diaplikasikan dalam sesebuah institusi kekeluargaan  mampu mencapai slogan "Rumahku Syurgaku" yang diomong-omongkan agar tidak mati terkubut tanpa batu nisan.

     Di samping itu, ibu bapa hendaklah memainkan peranan yang signifikan dengan meluangkan masa bersama anak-anak. Anak-anak akan berasa bahagia dan selamat apabila sentiasa berada di samping ibu bapa dan keluarga. inisiatif dan prakarsa ini bukan sahaja dapat mengeratkan ikatan silaturrahim antara ahli keluarga, malah secara implisit dan eksplisitnya, anak-anak akan merasa dihargai dan jalinan ukhuwah yang tercipta dapat dieratkan. sebagai analoginya, ibu bapa boleh membawa anak-anak beriadah, bersiar-siar, melancong dan melawat tempat-tempat yang menarik. melalui aktiviti ini, hubungan mesra antara ahli keluarga dapat diwujudkan dan hal ini dapat mengelakkan berlakunya persengketaan. Jika diingat kembali lirik lagu 'Keluarga Bahagia' nyanyian kumpulan nasyid Saujana yang berbunyi, 'ketika insan lain, berbahagia bersama keluarga, namun kita masih meniti, titian rapuh perhubungan', adakah kita ingin membiarkan rumah tangga yang dibina hancur berkecai? Oleh itu, melalui aktiviti inilah, setiap ahli keluarga akan berasa bahagia dan tenang dalam hubungan kekeluargaan. Berpaksikan pendirian yang kukuh ini, jelaslah bahawa melalui peranan ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak mampu mencapai slogan "Rumahku Syurgaku" tidak akan dapat disangkal lagiseperti kata Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang berbunyi, 'walaupun bulan diletakkan di atas telapak kanan tanganku, dan matahari diletakkan di atas telapak kiri tanganku, aku tidak akan pernah berpaling daripada pendirianku yang sebenarnya'.

     Secara ikhtisarnya, tiada keruh yang tidak dapat dijernihkan, tiada kusut yang tidak dapat dileraikan. Setiap ahli keluarga hendaklah bekerjasama berganding pundak menggalang segala aral yang melintang dalam merealisasikan slogan "Rumahku Syurgaku". melalui kejayaan slogan ini, bukan sahaja keluarga yang bahagia dapat dibentuk, malah slogan "Rumahku Syurgaku" atau "Baiti Jannati" ini mampu menjadi asas kepada kelahiran keluarga yang harmoni, masyarakat yang sejahtera dan seterusnya negara yang aman dan sentosa.


#Alhamdulillah..karangan ini ana hasilkan semasa peperiksaan percubaan SPM 2012 dan ana berjaya mendapat markah 82/100 untuk karangan bahagian b kertas 1... untuk adik-adik kat luar sana ...terutama yang dah nak SPM tahun ni....gud luck lah untuk korang...belajar rajin2...sentiasa doa dan buat solat sunat...Ingat Allah..InsyaAllah Allah akan bantu....dapatkan redha mak ayah...dapatkan redha Allah...
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh Wamaghfiratu Waridhwanu ^_^